Monday, December 7, 2009

Kawin kawin kawin....

Lama sesangat dah tak update blog kesayangan ini. Sibuk dengan kerja, sibuk dengan persiapan perkahwinan adik, sibuk dengan segala hal-hal dunia. Tahniah kepada yang baru melangsungkan perkahwinan. Semoga berbahagia hingga ke akhir hayat dan diberkati Allah. Tapi pada yang belum bertemu jodoh macam mana? Jangan lah sedih.. Cari perlahan-lahan... Biar jumpa yang elok-elok, baik budi pekerti, agama dan akhlaknya... Jangan tergesa-gesa dalam memilih pasangan hidup, takut merana seumur hidup... Yang penting berdoa lah.. Semoga Allah memberi petunjuk siapakah pasangan kita yang bertuah itu.. Jadi sebagai pembuka setelah lama menyepi, jom layan lagu ni...



Wednesday, October 7, 2009

Doa dari hadis sohih : Khusus elak rogol dan bunuh.

Wanita dan fesyen memang tidak dapat dipisahkan. Saban hari kita lihat pakaian wanita semakin hari semakin sendat, semakin ketat, malah semakin jarang... Apa hukumnya ni??? Ada yang jawab..'Tak pe, kami tutup aurat jugak... kami pakai tudung kan...'. Memanglah, pakai tudug tapi susuk tubuh jelas kelihatan, pakaian dalam nampak kadang-kadang sangat jelas, pakai T-shirt lengan pendek, tudung pula singkat tak menutupi dada langsung?? Tutup aurat ke tu?? Atau pada individu tersebut TUDUNG ADALAH FESYEN. Kesannya, kes rogol dan bunuh semakin meningkat.. Yang sedih, individu tak bersalah dan tak berdosa yang menjadi mangsa. Meninggal atau mati dalam keadaan yang menyedihkan.. Kenapa??? Kenapa kita tidak sama-sama membanteras perkara seperti ini supaya tidak terus terjadi kepada orang lain.... Jadi, aku terjumpa artikel dalam website Ustaz Zaharuddin yang enandungi doa dan memang doa ini telah diajar oleh abahku. Jadi aku nak berkongsi dengan semua dan sampaikanlah pada semua. Sambil tu layanlah lagu dari Hijjaz - Dilema (Hijjaz lagi...?? Hehe.. I minat, nak buat camner..)


Terdapat beberapa pertanyaan tentang doa yang khusus bagi kaum wanita samada dewasa dan kanak-kanak untuk mengelakkan mereka dari terperangkap dalam situasi yang boleh membawa kepada rogol, pencabulan dan lebih dahsyat lagi deraan seks yang diakhiri dengan pembunuhan. Maka di sini, selain doa dari hadis sohih pelindung setiap kali keluar rumah yang telah saya paparkan di artikel berkenaan Al-Marhumah Nurin Jazlin sebelum ini.

Iaitu :- رَسُولَ اللَّهِ يقول من قال بِسْمِ اللَّهِ الذي لَا يَضُرُّ مع اسْمِهِ شَيْءٌ في الأرض ولا في السَّمَاءِ وهو السَّمِيعُ الْعَلِيمُ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ لم تُصِبْهُ فَجْأَةُ بَلَاءٍ حتى يُصْبِحَ وَمَنْ قَالَهَا حين يُصْبِحُ ثَلَاثُ مَرَّاتٍ لم تُصِبْهُ فَجْأَةُ بَلَاءٍ حتى يُمْسِيَ

DALAM sebutan rumi : BISMILLAH ALLAZI LA YADURRU MA'ASMIHI SYAIUN FIL ARDI WA LA FIS SAMAIE , WAHUWAS SAMI'UL 'ALIM

Ertinya : Rasulullah s.a.w didengari berkata sesiapa yang berdoa : "Dengan nama Allah yang tiada dimudaratkan sesuatu apapun dengan namaNya samada di bumi dan di langit, dan Dialah maha mendengar dan maha mengetahui" sebanyak 3 kali, maka ia tidak ditimpa kesusahan bala dan musibah sehinggalah subuh esoknya, dan barangsiapa membacanya ketika subuh 3 kali, ia tidak ditimpa kesusahan bala dan musibah sehingga petangnya" ( Riwayat Abu Daud, 4/323 ; At-Tirmidizi, 5/465 dan Ahmad ; Tirmizi : Hasan - Teks doa berwarna Merah Syeikh Syuaib ; Hasan)

Ingin saya utarakan satu lagi doa sohih yang dibaca oleh isteri Nabi Ibrahim a.s (iaitu Siti Sarah) yang menyebabkan para lelaki zalim termasuk rajanya melarikan diri, saya sertakan sekali sumber rujukannya dari hadis Nabi s.a.w. اللّهُمَّ اِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ اني آمَنْتُ بِكَ وَبِرَسُولِكَ وَأَحْصَنْتُ فرجي إِلاَّ على زوجي فَلاَ تُسَلِّطْ عَلَىَّ الْكَافِرَ

DALAM SEBUTAN RUMI : ALLAHUMMA IN KUNTA TA'LAMU INNI AAMANTU BIKA, WA BIRASULIKA WA AHSONTU FARJI ILLA 'ALA ZAWJI FALA TUSALLIT 'ALAYYA AL-KAFIR WA AZ-ZALIM

Ertinya : Ya Allah, jika engkau mengetahui bahawa aku beriman kepada Mu dan Rasul Mu, dan aku menjaga kehormatanku hanya untuk suamiku, maka lindungilah aku daripada dikuasai oleh orang-orang kafir dan zalim" ( Riwayat Al-Bukhari, no 2104, 2/722 ; Sunan Al-Baihaqi, 5/97; Musnad ahmad, 2/403 ; Fath Al-Bari, 6/393; Umdat Al-Qari, 12/30 ; Sohih )

Semoga ia dapat dihafaz dan di amalkan oleh semua wanita Muslimah, Cuma jangan lupa bahawa doa ini bersoifat tawassul dengan amal soleh anda, iaitu apabila diikat dengan imannya dengan Allah s.w.t dan RasulNya dan telah dijaga kehormatannya dan sudah tentu auratnya.

Justeru, seolah-olah kemaqbulan doa ini juga diikat tentang kewajiban untuk beriman dengan Allah dan rasulNya dan menutup aurat anda. Tanpanya, doa ini masih amat digalakkan untuk dilakukan, cuma jaminan seolah-olah lebih pasti bagi yang apa yang dikatanya (dalam doa ini) menepati apa yang sebenarnya penampilan fizikal anda. Justeru, jika berbaju kebaya terbelah, baju sendat menampakkan susuk tubuh, berpakaian nipis seolah telanjang, bersolek canggih seperti artis bukan Islam..sudah tentu doa ini sahaja belum cukup mampu menjaga anda. Bukan kerana Allah s.w.t tidak mampu, tetapi Allah s.w.t tidak anggap wanita itu layak dek kerana kedegilannya sendiri. Sumber dari Ustaz Zaharuddin Abd Rahman (http://www.zaharuddin.net)


Wanita-wanita sekelian, jagalah auratmu... sayangilah dirimu, sayangilah adik-adikmu, sayangilah anak-anakmu, sayangilah keluargamu.. Jagailah auratmu dengan sebaik-baiknya. Periasan wanita bukan untuk dipertontonkan kepada semua, tetapi untuk suami sahaja. Jagalah dirimu... Jangan memancing penjahat sentiasa bermaharajalela mencemar kita...

Tuesday, October 6, 2009

Aku hanya Umar....

Satu hari, ketika perjalanan pulang dari tempat kerja ke rumah, aku mendengar radio saluran IKIM. Lagu yang dikeudarakan adalah dari Hijjaz iaitu Aku Hanya Umar. Kenapa aku tertarik dengan lagu ini adalah pada permulaan liriknya adalah sedikit riwayat Umar Al-Khattab. Jom kita tengok serba ringkas mengenai Saidina Umar ini.

Saidina Umar ibni al-Khattab atau kadangkala juga dipanggil sebagai Umar al-Farooq ataupun Omar atau Umar. Saidina Umar adalah daripada Bani Adi iaitu salah satu golongan puak Quraisy. Beliau menjadi khalifah kedua Islam pada 23 Ogos (633-644) bersamaan 22 Jamadilakhir tahun 13 Hijrah dan merupakan salah satu khalifah di dalam Khulafa al-Rasyidun. Saidina Umar dilahirkan di Makkah ada tahun 581. Beliau dikatakan terdiri daripada golongan kelas pertengahan. Beliau juga berilmu iaitu merupakan perkara yang amat jarang pada masa tersebut dan juga merupakan seorang pejuang dan wira yang gagah dan terkenal kerana kegagahannya.

Selepas pengislamannya, beliau melahirkan rasa kesalnya terhadap peristiwa penanaman anak perempuannya secara hidup-hidup dahulu di mana perkara seperti ini ialah fenomena biasa di Tanah Arab sebelum kedatangan Islam. Semasa Nabi Muhammad s.a.w. mula menyebarkan Islam secara terang-terangan, Saidina Umar mempertahankan ajaran tradisi masyarakat Quraisy.

Saidina Umar juga ialah antara orang yang paling kuat menentang Islam pada masa itu. Menurut ahli sejarah Islam, semasa Saidina Umar dalam perjalanan untuk membunuh Rasulullah s.a.w., beliau bertembung dengan seseorang yang mengatakan bahawa beliau haruslah membunuh adik perempuannya dahulu memandangkan adiknya telah memeluk Islam. Saidina Umar pergi ke rumah adiknya dan mendapati adiknya sedang membaca Al Quran. Dalam keadaan yang marah dan kecewa beliau memukul adiknya. Apabila melihat adiknya berdarah, beliau meminta maaf dan sebagai balasan beliau akan membaca secebis ayat Al Quran kepada adiknya. Beliau berasa terharu apabila mendengar ayat-ayat Al Quran yang begitu indah sehinggakan beliau memeluk Islam pada hari itu juga. Selepas peristiwa terbabit, beliau berjanji akan melindungi Islam sehingga ke titisan darah terakhir.

Saidina umar merupakan antara individu yang berhijrah ke Yathrib (kemudiannya dikenali sebagai Madinah). Ketika itu beliau telah menjadi salah seorang Sahabat Rasulullah s.a.w.. Malah pada tahun 625, anak perempuan Saidina Umar iaitu Hafsa mengahwini Nabi Muhammad s.a.w. Ketika Nabi Muhammad s.a.w. wafat pada tahun 632 masihi, Saidina Umar dikatakan amat sedih dengan kewafatan Rasulullah s.a.w. sehinggakan beliau sanggup membunuh sesiapa sahaja yang mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w. telah wafat. Beliau kemudiannya kembali tenang selepas Saidina Abu Bakar (khalifah pertama umat Islam) berucap "Sesiapa yang menyembah Muhammad ketahuilah bahawa baginda telah wafat, tetapi sesiapa yang menyembah Allah s.w.t., ketahuilah bahawa Allah itu hidup dan tidak akan mati." Saidina Abu Bakar kemudiannya membaca beberapa keping ayat Al Quran untuk mententeramkan umat Islam.

Saidina Abu Bakar dengan sokongan Saidina Umar menjadi khalifah pertama umat Islam. Semasa pemerintahan singkat Saidina Abu Bakar, Saidina Umar adalah penasihat Saidina Abu Bakar. Saidina Abu Bakar mencalonkan Saidina Umar sebagai penggantinya sebelum kematiannya pada tahun 634 masihi. Dengan itu Saidina Umar menjadi khalifah kedua umat Islam.

Semasa pemerintah Saidina Umar, empayar Islam berkembang dengan pesat; menawan Mesopotamia dan sebahagian kawasan Parsi daripada Empayar Parsi (berjaya menamatkan Empayar Parsi), dan menawan Mesir, Palestin, Syria, Afrika Utara, dan Armenia daripada Byzantine (Rom Timur). Ada diantara pertempuran ini menunjukkan ketangkasan tentera Islam seperti Perang Yarmuk yang menyaksikan tentera Islam yang berjumlah 40,000 orang menumpaskan tentera Byzantine yang berjumlah 120,000 orang. Hal ini mengakhiri pemerintahan Byzantine di selatan Asia Kecil.

Pada tahun 637, selepas pengempungan Baitulmuqaddis yang agak lama, tentera Islam berjaya menakluk kota tersebut. Paderi besar Baitulmuqaddis iaitu Sophronius menyerahkan kunci kota itu kepada Saidina Umar. Beliau kemudiannya mengajak Saidina Umar supaya bersembahyang di dalam gereja besar Kristian iaitu gereja Church of the Holy Sepulchre. Saidina Umar menolak dan sebaliknya menunaikan solat tidak beberapa jauh daripada gereja tersebut kerana tidak ingin mencemarkan status gereja tersebut sebagai pusat keagamaan Kristian. 50 tahun kemudian, sebuah masjid yang digelar Masjid Umar dibina di tempat Saidina Umar menunaikan solat.

Saidina Umar banyak melakukan reformasi terhadap sistem pemerintahan Islam seperti menubuhkan pentadbiran baru di kawasan yang baru ditakluk dan melantik panglima-panglima perang yang berkebolehan. Semasa pemerintahannya juga kota Basra dan Kufah dibina. Walaupun beliau adalah seorang pemerintah tetapi kehidupan beliau adalah sederhana. Saidina Umar wafat pada tahun 644 selepas dibunuh oleh seorang hamba Parsi yang bernama Abu Lu'lu'ah. Abu Lu'lu'ah menikam Saidina Umar kerana menyimpan dendam terhadap Saidina Umar. Dia menikam Saidina Umar sebanyak enam kali sewaktu Saidina Umar menjadi imam di Masjid al-Nabawi, Madinah. Saidina Umar meninggal dunia dua hari kemudian dan dikebumikan di sebelah makam Nabi Muhammad s.a.w. dan makam Saidina Abu Bakar. Saidina Uthman Affan dilantik menjadi khalifah selepas kematiannya.

Jom kita dengar lagu tersebut...

Monday, September 21, 2009

Ilal liqa ya ramadhan... ahlan wa sahlan ya syawal...



Ramadhan telah 3 hari berlalu. Dan telah 3 hari juga kita semua telah merayakan hari kemenangan kita setelah sebulan berhempas pulas melawan nafsu di bulan ramadhan yang mulia itu. Apakah perasaan kita pada hari ini? 3 hari Ramadhan pergi, dan 3 hari Syawal kita telah rai? Apakah hasil dari kursus percuma sebulan yang Allah berikan kepada kita? Adakah ianya telah mendidik kita dengan merasai akan zuuq Islam dan Iman itu sendiri? Adakah kita semua merindui Ramadhan lagi? Atau apakah Syawal yang sememangnya kita nanti-nanti saban tahun melebihi Ramadhan? Apakah kita akan bertemu dengan Ramadhan lagi tahun depan? Semua itu perlu kita fikirkan pada hari ini juga. Buatlah 'post-mortem' hasil kursus kita itu. Berjayakah atau tidak? Kalau berjaya Alhamdulillah... Kalau tidak, tanya balik, mengapa boleh jadi begitu.

Kalau dengan pemergian Ramadhan hati kita merasa sedih, hati memanggil-manggil agar Ramadhan dipanjangkan, hati merasa tidak segembira seperti ketika berada di bulan Ramadhan, itu bermakna sekurang-kurangnya kita telah mempunyai ciri-ciri kerinduan kepada Ramadhan. Sayangkah kita kepada Ramadhan? Tepuk dada, tanyalah iman.

Apa yang pasti sekiranya solat kita cu,up baik ketika dibulan Ramadhan, teruskanlah dibulan-bulan yang lain. Jika amalan-amalan sunat lain kita laksanakan dibulan Ramadhan, lakukan juga dibulan-bulan lain. Jangan hentikan amal ibadah tambahan kita kerana penilaian Allah dan merit dari Allah tidak akan hanya terhenti ketika di bulan Ramadhan. Jadikan buku kehidupan kita kali ini lebih molek dan indah dari buku-buku kehidupan yang lepas. Semakin banyak hari-hari yang berlalu, semakin bertambah usia kita, maka semakin dekatlah kita dengan pengakhiran kehidupan. Bawalah bekalan ke sana sebanyak mungkin. Janganlah jemu melakukan ibadah kepadanya. Jadikan jua Ramadhan yang lalu sebagai batu loncatan kepada kita untuk berazam baru serta memberi suntikan motivasi dalam hidup yang sementara ini agar diperhebatkan aml ibadah kita. Semoga kita semua mencapai kejayaan yang berlipat kali ganda bermula dari hari ini sehingga lah ke akhirat nanti. Amin... Ilal liqa ya Ramadhan ma'assalamah wa ahlan wasahlan ya syawal....

Wednesday, September 9, 2009

RAHSIA SOLAT DI AWAL WAKTU

Fwd dari emel sahabat sekolah...
RAHSIA SOLAT DI AWAL WAKTU..

Setiap peralihan waktu solat sebenarnya menunjukkan perubahan tenaga alam ini yang boleh diukur dan dicerap melalui perubahan warna alam. Fenomena perubahan warna alam adalah sesuatu yang tidak asing bagi mereka yang terlibat dalam bidang fotografi.

Pada waktu Subuh alam berada dalam spektrum warna biru muda yang bersamaan dengan frekuensi tiroid yang mempengaruhi sistem metabolisma tubuh.
Jadi warna biru muda atau waktu Subuh mempunyai rahsia berkaitan dengan penawar/rezeki dan komunikasi. Mereka yang kerap tertinggal waktu Subuhnya ataupun terlewat secara berulang-ulang kali, lama kelamaan akan menghadapi masalah komunikasi dan rezeki.

Ini kerana tenaga alam iaitu biru muda tidak dapat diserap oleh tiroid yang mesti berlaku dalam keadaan roh dan jasad bercantum (keserentakan ruang dan masa) - dalam erti kata lain jaga daripada tidur. Disini juga dapat kita cungkil akan rahsia diperintahkan solat diawal waktu.

Bermulanya saja azan Subuh, tenaga alam pada waktu itu berada pada tahap optimum. Tenaga inilah yang akan diserap oleh tubuh melalui konsep resonan pada waktu rukuk dan sujud. Jadi mereka yang terlewat Subuhnya sebenar sudah mendapat tenaga yang tidak optimum lagi.

Waktu Zuhur
Warna alam seterusnya berubah ke warna hijau (isyraq & dhuha) dan kemudian warna kuning menandakan masuknya waktu Zohor. Spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi perut dan hati yang berkaitan dengan sistem penghadaman. Warna kuning ini mempunyai rahsia yang berkaitan dengan keceriaan. Jadi mereka yang selalu ketinggalan atau terlewat Zuhurnya berulang-ulang kali dalam hidupnya akan menghadapi masalah di perut dan hilang sifat cerianya. Orang yang tengah sakit perut ceria tak ?

Waktu Asar
Kemudian warna alam akan berubah kepada warna oren, iaitu masuknya waktu Asar di mana spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi prostat, uterus, ovari dan testis yang merangkumi sistem reproduktif. Rahsia warna oren ialah kreativiti. Orang yang kerap tertinggal Asar akan hilang daya kreativitinya dan lebih malang lagi kalau di waktu Asar ni jasad dan roh seseorang ini terpisah (tidur la tu .). Dan jangan lupa, tenaga pada waktu Asar ni amat diperlukan oleh organ-organ reproduktif kita


Waktu Maghrib
Menjelang waktu Maghrib, alam berubah ke warna merah dan di waktu ini kita kerap dinasihatkan oleh orang-orang tua agar tidak berada di luar rumah. Ini kerana spektrum warna pada waktu ini menghampiri frekuensi jin dan iblis (infra-red) dan ini bermakna jin dan iblis pada waktu ini amat bertenaga kerana mereka resonan dengan alam. Mereka yang sedang dalam perjalanan juga seelok-eloknya berhenti dahulu pada waktu ini (solat Maghrib dulu la .) kerana banyak interferens (pembelauan) berlaku pada waktu ini yang boleh mengelirukan mata kita. Rahsia waktu Maghrib atau warna merah ialah keyakinan, pada frekuensi otot, saraf dan tulang.

Waktu Isyak
Apabila masuk waktu Isyak, alam berubah ke warna Indigo dan seterusnya memasuki fasa Kegelapan. Waktu Isyak ini menyimpan rahsia ketenteraman dan kedamaian di mana frekuensinya bersamaan dengan sistem kawalan otak. Mereka yang kerap ketinggalan Isyaknya akan selalu berada dalam kegelisahan. Alam sekarang berada dalam Kegelapan dan sebetulnya, inilah waktu tidur dalam Islam. Tidur pada waktu ini dipanggil tidur delta dimana keseluruhan sistem tubuh berada dalam kerehatan.

Selepas tengah malam, alam mula bersinar kembali dengan warna putih, merah jambu dan seterusnya ungu di mana ianya bersamaan dengan frekuensi kelenjar pineal, pituitari, talamus dan hipotalamus. Tubuh sepatutnya bangkit kembali pada waktu ini dan dalam Islam waktu ini dipanggil Qiamullail.
Begitulah secara ringkas perkaitan waktu solat dengan warna alam. Manusia kini sememangnya telah sedar akan kepentingan tenaga alam ini dan inilah faktor adanya bermacam-macam kaedah meditasi yang dicipta seperti taichi, qi-gong dan sebagainya. Semuanya dicipta untuk menyerap tenaga-tenaga alam ke sistem tubuh.

Kita sebagai umat Islam sepatutnya bersyukur kerana telah di'kurniakan' syariat solat oleh Allah s.w.t tanpa perlu kita memikirkan bagaimana hendak menyerap tenaga alam ini. Hakikat ini seharusnya menginsafkan kita bahawa Allah s.w.t mewajibkan solat ke atas hambanya atas sifat pengasih dan penyayang-Nya sebagai pencipta kerana Dia tahu hamba-Nya ini amat-amat memerlukannya. Adalah amat malang sekali bagi kumpulan manusia yang amat cuai dalam menjaga solatnya tapi amat berdisiplin dalam menghadiri kelas taichinya .

Tuesday, September 8, 2009

Aku suka...


Aku suka bekerja sebab nanti belum hujung bulan aku dapat duit. Aku suka tempat kerja aku sebab tempat kerja aku kawan-kawan semuanya baik-baik belaka (termasuklah bos aku). Aku suka jarak perjalanan yang jauh dari tempat kerje aku ke rumah. Kenapa? Sebab sepanjang jalan tu nanti aku boleh tengok macam-macam jenis kereta, gaya pemanduan orang ramai, yang penting aku boleh dengar radio sambil berzikir mengingati Allah.... Kalau kat rumah banyaknye dengar lagu 'lagho' (melalaikan). So bila nak ingat Tuhan. Kalau lepas solat kadang-kadang miss. Sebab anak kacau mnta susu lah, time tu dia nak main dengan kita ah, kacau kita solatlah, beraklah... macam-macam ada....Tu yang setelah beberapa lama aku berulang-alik ke rumah, baru aku sedar betapa bersyukurnya aku tempat kerja aku jauh (tapi setakat max 1jam perjalanan boleh lah....). Dalam tension-tension buat kerja kat ofis, bila on the way balik, dengar zikir ke lagu nasyid ke, sejuk sikit hati. Sampai rumah dah lupa dah 80% masalah kat tempat kerja. Hilang semua serabut tu... Alhamdulillah... Orang yang kat rumah pun tak kene marah. Walaupun badan penat tapi hati berasa tenang... Yang penting setiap apa yang kita lakukan, niatlah kerana Allah, mulakanlah dengan Bismillah dan sudahilah dengan Alhamdulillah.. Moga amalan-amalan harian kita termasuklah kerja kita (yang makan gaji tu) menjadi ibadah yang sempurna. Kerja tu kan ibadah... betul kan...?? Kita pun pasti tersenyum bila pulang ke rumah, sebab apa, kita sudah ada satu motto dalam hidup YANG MENJADI MOTIVASI UNTUK KITA KERJA. yANG TUA-TUA TAK PAYAH NAK TENSION, SENYUM SELALU, MESTI LAMA-LAMA NAMPAK MUDA KAN... YAN MUDA? BERTAMBAH MUDALAH.... harharharhar

Wednesday, September 2, 2009

Corat coret semalam dan aku.......


Semalam balik dari kerja aku tengok minyak kereta dah nak habish... alamak! tak boleh jadi ni... takut tak sampai ke rumah nih.. baru betul aku bertolak baru sampai umah.. So aku pun decide nak isi lah di stesen minyak petronas. Masa dah nak sampai di petronas, aku nampak ada budak perempuan dengan beg di bahu kanan, berbaju kurung, sambil memegang segulung benda lah.. Aku rasa aku tau dah sape budak tu... dah sampai dekat pam minyak, sah... memang sah... nilah budak-budak yang menjual kalendar dan balm yang ada di merata-rata seluruh Semenanjung Malaysia (Sabah & Sarawak tak tau la ada ke tak). Anak-anak yatim yang masih bersekolah tapi bekerja di bulan puasa. Kesian...
Aku pun pegilah bayar kat kaunter dan aku jeling-jeling jugak lah budak ni. Saja nak tengok ada tak kawan dia. Ada... sorang lagi budak perempuan. Tapi aku agak dia mungkin letih agaknya. Dia duduk di tempat rehat pekerja stesen tersebut sambil memangku kepalanya. Kesian....
Aku pun isi minyak tu sambil menantikan kedatangan salah sorang budak-budak penjual tu. Maka, tiba-tiba.... jeng jeng jeng.... aku dengar ada suara yang kasihan bagi salam pada aku dan aku jawab serta menoleh... oh! budak perempuan tu rupanya... bukan yang terlentok letih tu, tapi yang mula-mula aku nampak.. dia pun cakap lah yang dia dari bla bla bla nsedang buat jualan amal menjual kalendar islam beserta takwim solat untuk tahun 2010 serta balm yang harganya RM10 setiap satu. Aku pun dengar tak dengar dia dari mana mulalah nak berdialog....
Aku : Dari mana?
Adik Tu : Dari bla bla bla, Yan, Kedah.
Aku angguk dan dah agak dah mesti dari negeri dan tempat yang sama.
Aku : Dah berapa lama di sini?
Adik tu : Mmmmm... Ntah... 2 hari kot...
Aku : Ha??? Berapa hari kat sini pun tak ingat ke? Mai dengan sapa?
Adik Tu : Mai ngan ustaz ngan kawan-kawan..
Aku : Naik apa?
Adik Tu : Kereta.
Aku : Duk umah sapa?
Adik Tu : Umah kawan ustaz...
Aku : Kat mana?
Adik Tu : Kat bla bla bla.. (Somewhere kat Bercham. Aku tak berapa ingat. Rasanya Taman yang start ngan S...)
Aku : Ni tak sekolah ka?
Adik Tu : Bulan ni tak sekolah sebab bulan Ramadhan kita buat jualan amal...
Aku : Bulan ni sebulan tak sekolah ke?
Adik tu geleng kepala.
Aduhai... kesian....
Aku : Puasa tak ni?
Adik Tu : Puasa..
Alahai... kesian lagi...
Aku : Jualan ni untuk apa tadi?
Adik Tu : Untuk anak-anak yatim, ibu-ibu tunggal, orang miskin dan belanja sekolah kami untuk harian...
Ha???? Banyak nye saluran sumbangan ni... Tapi??? Kenapa tenaga anak yatim????
Aku : Ni benda-benda ni dapat dari mana?
Adik Tu : Ustaz buat...
Hm...Pandai ustaz.... Aku tertanyalah pulak soalan sensitif...
Aku : Adik mak ayah ada tak?
Muka adik tu macam tergamam skit... Serba salah aku rasa... Tapi dia jawab jugak..
Adik Tu : Mak tak dak, ayah ada la...
Huwaaaaa................
Aku : Duk kat asrama ke?
Adik tu angguk...
Aku : Hari ni dah banyak ke orang beli?
Adik Tu: Baru satu je....
isk... isk...isk...
Tiba-tiba aku rasa macam dah lama je aku kat stesen minyak tu...
Aku pun settlekan hal aku ngan adik tu, naik kereta dan blah...
Mesti orang-orang yang nak isi minyak tu nyampah tengok aku layan budak tu... Biar lah... Aku peduli ape... Aku kesian tengok budak tu. Aku nak tau kenapa dia boleh buat benda ni. Tu baru sikit aku tanya... Kalau ikutkan banyak benda lagi aku nak tanya... Tapi bulan puasa.. Aku pun nak balik...
Tapi aku sedih... sangat-sangat sedih.. Kenapalah anak-anak yatim ni selalu menjadi mangsa keadaan untuk mencari dana bagi tempat mereka sendiri. Apatah lagi di bulan puasa... Dah lah bulan puasa, mereka tu kan sekolah lagi. Sepatutnya, mereka ni tak dibebankan dengan tanggungjawab orang dewasa. Jumpa seorang demi seorang untuk menjual baranganya. Kalaulah orang yang dia jumpa tu baik tak pe... Kalau jahat??? Nauzubillahiminzalik.... Kesian tengok mereka ni. Dah lah anak yatim.. Sekolah budak-budak ni memang selalu sangat buat jualan macam ni..Tak ada cara lain ke untuk diorang dapatkan duit.... Janga sia-siakan tenaga anak-anak ni. Janganlah sia-siakan masa mereka hari ini. Didiklah anak-anak ni sebaik-baiknya... Bagilah pendidikan yang sempurna. Rasanya banyak jugak individu-individu dan badan-badan yang memang bermurah hati suka membantu kumpulan-kumpulan begini. Rakyat Malaysia kan semuanya bermurah hati... Orang-orang yang mentadbir sekolah tu sepatutnya mencari jalan dan berusaha supaya sekolah mereka tak dibelenggu lagi dengan kesusahan yang sama. Elakkan dari menggunakan tenaga anak-anak ni berterusan... Kesian mereka.... Aku sedih... Sepanjang perjalanan aku sedih.... Aku sedih... Wa......................

Tuesday, September 1, 2009



Yamaha lancar kempen ‘Balik Kampung’

Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd (Yamaha) dan Persatuan Motosikal dan Skuter Malaysia (MMSA) lancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya ‘Balik Kampung’.
Kempen tersebut bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan masyarakat dalam sistem pemanduan di negara ini.
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, Dr Hua Kok Chung berkata, ia adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat dalam membantu kerajaan mengurangkan bilangan kemalangan jalan raya.
“Ia ditujukan khas kepada penunggang motosikal dan pemboncengnya kerana kajian dari Jabatan Keselamatan Jalan Raya mendapati golongan ini berisiko tinggi ditimpa kemalangan.
“Kebanyakan penunggang motorsikal terdiri daripada pelajar universiti dan golongan muda yang bekerja,” kata pada majlis pelancaran di Petaling Jaya, semalam.
Risiko kemalangan bagi penunggang dan pembonceng dianggarkan mencecah 60 peratus berbanding penggunaan kereta lain.
Sementara itu, Pengerusi MMSA, C H NG pula berkata, kesedaran tersebut bukan sahaja dilihat dari segi cara pemanduan berhemah, bahkan menitikberatkan keadaan kenderaan sebelum perjalanan.
“Pelajar digalakkan mendaftar kursus keselamatan yang memberi manfaat kepada diri sendiri supaya menjadi pemandu berhemah selain memberi pendidikan tentang kemahiran pemanduan secara saintifik,” katanya.
Kempen tersebut mensasarkan institusi pengajian tinggi seperti Universiti Teknologi Malaysia, Politeknik Merlimau, Melaka; Politeknik Ungku Omar, Perak dan Politeknik Seberang Perai, Pulau Pinang dari 1 September hingga 9 September ini.
Kepentingan mesej melalui kempen ini mendapat perhatian masyarakat sejak perlaksanaannya pada 1999 membuktikan terdapat pembaharuan untuk mendidik penunggang Malaysia lebih prihatin ketika memandu."

Petikan di atas diambil dari akhbar Harian Metro bertarikh 2/9/09 di mana ia mengambil kira kepentingan penjagaan keselamatan penunggang motosikal ketika berada di jalan raya. Memang tidak dinafikan bahawa penunggang motosikal juga merupakan antara penyumbang besar bagi bilangan kemalangan jalan raya. Pihak kerajaan juga sentiasa mengambil berat akan hal ini dan sentiasa mencari jalan terbaik bagi mengurangan kadar kemalangan yang melibatkan penunggang motosikal. Namun begitu terdapat beberapa perkara yang perlu diambil kira oleh semua pihak.

Kita semua berkongsi menggunakan jalan raya. Bermakna bukan kita seorang. Tetapi sedarkah kita bahawa kadang kala kita merasakan jalan raya tu kita yang punya? Kalau kita perasan, setia kali kita pergi atau balik kerja, kita mesti marah-marah. Marah siapa? Penunggang motosikal kan... Biasanya lah..pemandu kenderaan lain pun ada jugak. Tu tak masuk kisah lori dan sebagainya. Tapi kita fokuskan kepada penungang motosikal dahulu. Perhatikan sikap mereka apabila menunggang motosikal di jalan raya. Bawak motor macam hantu (tak pernah lag tengok hantu bawak motor. Tapi metafora sahaja.)Dengan lajunya, dengan cilok menciloknya, langgar lampu merah lagi, di traffic light kalau boleh tengah-tengah simpang tu dia nak berhenti... adui... geram betul tengoknya. Semua tindakan mereka tu kan membahayakan keselamatan mereka sendiri. Kempen dah macam-macam. Dari pakai top keledar sampailah etika pakaian. 'Kumpulan' ni ikut ke....???? Adalah yang ikut. Tu pun orang tua. Sebab hati dah terdidik dengan penuh kesabaran... Yang muda??? Tak apa muda... Tunjuk terer lah... Bila lagi buat lagi hebat dari Mat Rempit kan... Yang muda-muda ni ramai dari pelajar IPTA, termasuklah pelajar politeknik dan kolej komuniti. APa? Mereka ni memang tak ada kesedaran tentang keselamatan jalan raya ke? Dah tu, masa nak ambil lesen dulu belajar ape...? (Pikir lah sendiri...)

Munkin selain dari kempen keselamatan jalan raya bermusim ini dilakukan, individu yang kerap disaman ini perlu mengambil kursus etika di lajan raya supaya kita sebagai manusia ni selalu diperingatkan untuk bersopan di jalan raya walaupun dah 20 tahun ada lesen. Ingatlah. Mungkin disebabkan kita ada orang lain yang terlibat dengan kemalangan. Mungkin kerana kita ada yang kehilangan ahli keluarga. Jadilah warga Malaysia yang indah budi pekerti walau di mana saja kita berada. Banyak lagi nak taip ni. Ilham Allah bagi mencurah-curah. Tapi cukuplah setakat ni. Sekadar nak beri response kepada artikel akhbar tersebut. Wallahua'lam....

Thursday, August 20, 2009

DOA KETIKA BERWUDUK



Kita tahu bahawa salah satu syarat sah sembahyang ialah mengambil wudhuk. Berikut adalah cara-cara mengambil wudhuk yang sempurna. Dengan wudhuk yang sempurna insyaallah kita akan mendapat kekhusyukan dalam sembahyang.

1. Ketika berkumur, berniatlah kamu dengan, "Ya Allah, ampunilah dosa mulut dan lidahku ini".

2. Ketika membasuh muka, berniatlah kamu dengan, "Ya Allah, putihkanlah mukaku di akhirat kelak, Janganlah Kau hitamkan muka ku ini".

3. Ketika membasuh tangan kanan, berniatlah kamu dengan,"Ya Allah, berikanlah hisab-hisab ku di tangan kanan ku ini".

4. Ketika membasuh tangan kiri, berniatlah kamu dengan,"Ya Allah, janganlah Kau berikan hisab-hisab ku di tangan kiri ku ini".

5. Ketika membasuh kepala, berniatlah kamu dengan,"Ya Allah, lindunganlah daku dari terik matahari di padang Masyar dengan Arasy Mu".

6. Ketika membasuh telinga, berniatlah kamu dengan,"Ya Allah, ampunilah dosa telinga ku ini".

7. Ketika membasuh kaki kanan, berniatlah kamu dengan."Ya Allah, permudahkanlah aku melintasi titian Siratul Mustaqqim".

8. Ketika membasuh kaki kiri, berniatlah kamu dengan,"Ya Allah, bawakanlah daku pergi ke masjid-masjid, surau-surau dan bukan tempat-tempat maksiat".


Penjelasannya mengapa adanya doa-doa tersebut:

1. Kita hari-hari bercakap benda-benda yang tak berfaedah (sama ada kita sedar atau tak, betul kan......)

2. Ahli syurga mukanya putih berseri-seri (Kita semua kan nak jadi ahli syurga.. Amin....)

3. Ahli syurga diberikan hisab-hisabnya di tangan kanan

4. Ahli neraka diberikan hisab-hisabnya di tangan kiri

5. Panas di Padang Masyar macam matahari sejengkal di atas kepala

6. Hari-hari mendengar orang mengumpat, memfitnah dll

7. Ahli syurga melintasi titian dengan pantas sekali

8. Qada' dan Qadar kita di tangan Allah.


Ramai di antara kita yang tidak sedar akan hakikat bahawa setiap yang dituntut dalam Islam mempunyai hikmah nya yang tersendiri. Pernahkah kita terfikir mengapa kita mengambil wuduk sedemikian rupa ?. Pernahkah kita terfikir segala hikmah yang kita perolehi dalam menghayati Islam ?. Pernahkah kita terfikir mengapa Allah lahirkan kita sebagai umat Islam? Bersyukurlah dan bertaubatlah selalu, apatah lagi dibulan yang penuh barakah ini. Moga-moga amalan yang baik ini akan berterusan hingga ke akhir hayat kita...


"Sampaikanlah pesanku biar pun satu perkataan......"

Monday, August 10, 2009

Kesian kita ni kan....




AH1N1!!! Alamak! Dah makin teruk. Tempat aku kerja pun dah ramai yang infected. 4 orang positif. Tapi bila nak tutup tempat keje aku ni. Dah risau aku dibuatnya.

Baru-baru ni aku baca dalam akhbar, individu yang paling mudah infected adalah ibu mengandung, kanak-kanak dan individu berpenyakit. Kan bahaya tu. Kat tempat aku ni pun ramai yang mengandung, ramai yang beranak kecik dan ada juga yang ada penyakit-penyakit yang bahaya. Pertimbangkanlah tu semua. Jangan terlalu angkuh dalam nak menunjukkan kekuasaan sebagai ketua. Kalau ada yang meninggal nanti macam mana. Tak nyesal ke?

Dah lah 'binatang' ni pun satu hal. Nape lah dia selsema kita yang demam??? Kalau dulu dengan selsema burung, manusia pun yang jadi mangsa. Habis kebanyakan ayam-ayam yang di'suspect' mempunyai selsema tu kene 'kiok', tapi 'binatang' popular ni tak plak kene kill kill kill die die die!!!

Tak paham tak paham... Sebagai muslim kekuatan kita adalah pada doa. Amalkanlah doa diatas ni supaya kita terhindar dari penyakit membunuh ini dan yakinlah pada Allah. Setiap penyakit ada ubatnya... Wallahua'lam...








Thursday, August 6, 2009

Hidup... Macam tu lah...




Bismillahirrahmanirrahim...


Kenapa manusia suka saling dengki mendengki? Kenapa manusia cukup tak senang dengan kebahagiaan orang lain? Kenapa orang sanggup 'kene-mengenakan' manusia lain demi kepuasan sendiri????? Benda-benda 'pahit' ni memang selalu berlaku dalam hidup kita seharian.


Baru-baru ni sepupu aku menghadapi perkara sebegini. Dikenakan ilmu hitam pada kedai makannya. Akibat : ramai orang tak berminat nak masuk kedai dia dan bisnes dia dibelenggu hutang. Jalan penyelesaian dia mintak tolong pada mak aku. RM3000. Mak aku pun kebetulan baru je dapat duit dari adik aku, setuju lah bagi pinjam (duit tu pun bukan duit mak aku, tapi duit loan adik aku). Cuma mak aku dapat bagi RM2000 je. Tak dapat nak bagi semua sebab tujuan asal duit tu untuk repair rumah kami. Dia janji nak bayar dalam masa 2 minggu sebab dia akan dapat duit kutu RM4,000, katanya.........

Tak sampai 5 hari dia call lagi, dia kata nak pinjam kat aku & adik aku RM3,000. Aik!!! Kata nak dapat duit kutu... Mana aku nak cari duit tu... aku bukannya banker.. nak bagi mak abah pun berbajet untuk aku... ni senang-senang nak bagi kat dia.. biaq betoi.... Kalau kitorang memang berduit tak pe lah... Alang-alang baik kitorang bagi je duit tu RM3k terus hari tu... dia janji akan bayar balik lepas dapat pinjaman dari bank nanti... pinjaman pulak.... hari tu kutu... la ni pinjaman pulak...

Lepas mak aku desak dia bagi tau hal sebenar, dia pun bagitau la sebebnarnya dia nak guna duit tu untuk berubat dan jumpa bomoh. Bomoh???? Astaghfirullahal'azim.... Kenapa? Sebab dia percaya pada bomoh tu yang kedai dan keluarganya dah disihir oleh orang tertentu sebab DENGKI. Masya Allah... Aku bagitau pada mak aku, kalau dia call lagi cakap pada dia, banyak-banyak bertaubat... kalau yakin ada orang nak kenekan dia tentu ustaz boleh tolong... jangan jumpa bomoh. Dah lebih sekali dia jumpa bomoh yang sama yang mana setiap kali OK, tak lama lepas tu kene balik. Jumpa, bayar, OK, kene balik.... Macam mana??? Ada yang tak kene kan...

Yakin lah pada Allah... Segala keburukan yang berlaku adalah dengan kehendakNya... bukan kehendak kita. Cuma janganlah menyekutukan Allah.. Kalau sakit berubat lah dengan Al-Quran. Bukan dengan Bomoh... Nanti sakit tak sudah-sudah, duit pun makin kering... Ya Allah, jauhkanlah kami dari perkara-perkara buruk itu.. Ampunilah dosa-dosa kami.. Selamatkan lah kami dengan rahmatMu... Amin....

Thursday, July 23, 2009

15 pintu syaitan... jgn bagi masuk!!!!



15 pintu syaitan yang ada didalam diri kita

- pintu marah

- cinta dunia

- kebodohan (keengganan menghadiri majlis ilmu)

- panjang angan-angan

- rakus

- bakhil

- suka pada pujian

- riak

- ujub (merasa kagum)

- takut dan gelisah

- buruk sangka

- memandang rendah pada orang lain

- merasa suka pada dosa

- merasa aman daripada pembalasan "ALLAH"

- putus asa daripada rahmat "ALLAH"





15 Senjata Menghalang Syaitan


- Membaca Bismillah (menjadi kunci pada perbuatan baik)

- Banyakkan berzikir-

Banyakan Berisitigfar-

Baca "la i la ha illa anta subha naka inni kuntu minaz zoli min"

- Jangan tidur berseorangan

- Baca doa pagi dan petang

- Bersugi

- Melaksanakan solat jemaah

- Berwudhuk sebelum tidur

- menutup aurat

- Membaca doa masuk tandas.

- Banyak berselawat pada hati

- Bertaubat, beristighfar

- Banyakan baca Al-Quran

- Membaca surah Yassin setiap pagi





Rumah yang Tidak Dimasuki syaitan


- Rumah yang bersih

- Penghuni membaca "Bismillah" ketika memasuki rumah

- Sentiasa berzikir (ahli rumah menegakkan solat)

- Penghuninya jujur dan memenuhi janji

- Penghuninya memakan makanan yang halal (dan cara mendapatkannya halal)

- Penghuninya mengekalkan silaturahim (sentiasa mesra)

- Rumah yang penghuninya berbakti kepada Ibu Bapa

Wednesday, July 22, 2009

13 AURAT WANITA ISLAM


Untuk dikongsi bersama............ Ini adalah emel yang saya terima dari suami tercinta, NOOR HAFIDZAN B ABU BAKAR, yang sudi mengingatkan isterinya ini dalam perihal keislaman... Terima kasih sayang....

TIGA BELAS AURAT WANITA

1. Bulu kening - Menurut Bukhari, Rasullulah melaknati perempuan yang mencukur atau menipiskan bulu kening atau meminta supaya dicukurkan bulu kening - Petikan dari Hadis Riwayat Abu Daud Fi Fathil Bari.

2. Kaki memakai gelang berloceng - Dan janganlah mereka (perempuan) menghentakkan kaki (atau mengangkatnya) agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan - Petikan dari Surah An-Nur Ayat 31.
Keterangan : Menampakkan kaki dan menghayunkan/melenggokkan badan mengikut hentakan kaki terutamanya pada mereka yang mengikatnya dengan loceng sama juga seperti pelacur dizaman jahiliyah.

3. Wangian - Siapa sahaja wanita yang memakai wangi-wangian kemudian melewati suatu kaum supaya mereka itu mencium baunya, maka wanita itu telah dianggap melakukan zina dan tiap-tiap mata ada zinanya terutamanya hidung yang berserombong kapal kata orang sekarang hidong belang - Petikan dari Hadis Riwayat Nasaii, Ibn Khuzaimah dan Hibban.

4. Dada - Hendaklah mereka (perempuan) melabuhkan kain tudung hingga menutupi bahagian hadapan dada-dada mereka - Petikan dari Surah An-Nur Ayat 31.

5. Gigi - Rasullulah melaknat perempuan yang mengikir gigi atau meminta supaya dikikirkan giginya - Petikan dari Hadis Riwayat At-Thabrani. Dilaknat perempuan yang menjarangkan giginya supaya menjadi cantik, yang merubah ciptaan Allah - Petikan dari Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.

6. Muka dan leher - Dan tinggallah kamu (perempuan) di rumah kamu dan janganlah kamu menampakkan perhiasan mu seperti orang jahilliah yang dahulu.
Keterangan : Bersolek (make-up) dan menurut Maqatil sengaja membiarkan ikatan tudung yang menampakkan leher seperti orang Jahilliyah.

7. Muka dan Tangan - Asma Binte Abu Bakar telah menemui Rasullulah dengan memakai pakaian yang tipis. Sabda Rasullulah: Wahai Asma! Sesungguhnya seorang gadis yang telah berhaid tidak boleh baginya menzahirkan anggota badan kecuali pergelangan tangan dan wajah saja - Petikan dari Hadis Riwayat Muslim dan Bukhari.

8. Tangan - Sesungguhnya kepala yang ditusuk dengan besi itu lebih baik daripada menyentuh kaum yang bukan sejenis yang tidak halal baginya - Petikan dari Hadis Riwayat At Tabrani dan Baihaqi.

9. Mata - Dan katakanlah kepada perempuan mukmin hendaklah mereka menundukkan sebahagian dari pemandangannya - Petikan dari Surah An Nur Ayat 31.
Sabda Nabi Muhamad SAW, Jangan sampai pandangan yang satu mengikuti pandangan lainnya. Kamu hanya boleh pandangan yang pertama sahaja manakala pandangan seterusnya tidak dibenarkan hukumnya haram - Petikan dari Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Tirmidzi.

10. Mulut (suara) - Janganlah perempuan-perempuan itu terlalu lunak dalam berbicara sehingga berkeinginan orang yang ada perasaan serong dalam hatinya, tetapi ucapkanlah perkataan-perkataan yang baik - Petikan dari Surah Al Ahzab Ayat 32.
Sabda SAW, Sesungguhnya akan ada umat ku yang minum arak yang mereka namakan dengan yang lain, iaitu kepala mereka dilalaikan oleh bunyi-bunyian (muzik) dan penyanyi perempuan, maka Allah akan tenggelamkan mereka itu dalam bumi - Petikan dari Hadis Riwayat Ibn Majah.

11. Kemaluan - Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan mukmin, hendaklah mereka menundukkan pandangan mereka dan menjaga kehormatan mereka - Petikan dari Surah An Nur Ayat 31.
Apabila seorang perempuan itu solat lima waktu, puasa di bulan Ramadan, menjaga kehormatannya dan mentaati suaminya, maka masuklah ia ke dalam Syurga daripada pintu-pintu yang ia kehendakinya - Hadis Riwayat Riwayat Al Bazzar.
Tiada seorang perempuanpun yang membuka pakaiannya bukan di rumah suaminya, melainkan dia telah membinasakan tabir antaranya dengan Allah - Petikan dari Hadis Riwayat Tirmidzi, Abu Daud dan Ibn Majah.

12. Pakaian - Barangsiapa memakai pakaian yang berlebih-lebihan terutama yang menjolok mata , maka Allah akan memberikan pakaian kehinaan di hari akhirat nanti - Petikan dari Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud, An Nasaii dan Ibn Majah.
Petikan dari Surah Al Ahzab Ayat 59. Bermaksud : Hai nabi-nabi katakanlah kepada isteri-isterimu, anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin, hendaklah mereka memakai baju jilbab (baju labuh dan longgar) yang demikian itu supaya mereka mudah dikenali . Lantaran itu mereka tidak diganggu. Allah maha pengampun lagi maha penyayang.
Sesungguhnya sebilangan ahli Neraka ialah perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi telanjang yang condong pada maksiat dan menarik orang lain untuk melakukan maksiat. Mereka tidak akan masuk Syurga dan tidak akan mencium baunya - Petikan dari Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.
Keterangan : Wanita yang berpakaian tipis/jarang, ketat/ membentuk dan berbelah/membuka bahagian-bahagian tertentu.

13. Rambut - Wahai anakku Fatimah! Adapun perempuan-perempuan yang akan digantung rambutnya hingga mendidih otaknya dalam Neraka adalah mereka itu di dunia tidak mahu menutup rambutnya daripada dilihat oleh lelaki yang bukan mahramnya - Petikan dari Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.

Sunday, July 12, 2009

Tika Dinihari




Oh Tuhanku


Tiada indah di malam yang hening


melainkan dengan bermunajat kepada-Mu


Tiada indah suatu hari yang aku lalui


kecuali dengan patuh kepada-Mu




Oh Tuhanku


Tiada indah hidup di dunia


melainkan berzikir dan menyebut nama-Mu


Tiada indah tiba di akhirat yang abadi


kecuali dengan keampunan-Mu




Ya Allah Tuhanku


yang merubah kalbu


Tetapkanlah hatiku


Moga sentiasa dalam agama-Mu


Jua taat akan perintah-Mu




Tuhan..... Usah bebankan kami


dengan bebanan yang berat


seperti yang pernah kau berikan


kepada umat yang terdahulu...


dari kami




Tuhan.... Jangan pikulkan kami


Yang tidak kami terdaya


Maafkan salah kesilapan


Ampunkanlah dosa-dosa


Rahmatilah kami...




(Lirik Lagu Nasyid Kumpulan Devotees)


Wednesday, July 8, 2009

Buku baru......


Assalamualaikum....


Ini adalah sambungan dari blog marisembangsantai.blogspot.com. Sengaja create blog baru sebab setting blog yang sebelum ni dah huru hara skit. Dah tak cantik... Manusia kan suka yang cantik-cantik... Jadi saya create yang baru untuk kesinambungan luahan dan idea yang seterusnya... Kalau ada apa-apa yang nak di komen, sila-sila lah... Jangan malu, jangan segan... tak marah pun....